MESYUARAT MAJLIS PEMBANGUNAN KEMAHIRAN KEBANGSAAN (MPKK) BILANGAN 2 TAHUN 2026

17 Ogos 2026, KUALA LUMPUR - Mesyuarat Majlis Pembangunan Kemahiran Kebangsaan (MPKK) Bil. 2 Tahun 2026 yang dipengerusikan oleh YB Datuk Khairul Firdaus bin Akbar Khan, Timbalan Menteri Sumber Manusia telah bersidang dengan jayanya pada 17 Ogos 2026 bertempat di IDEAS Hotel Kuala Lumpur. Mesyuarat ini kekal menjadi platform strategik utama dalam memacu landskap Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta pembangunan modal insan berkemahiran tinggi di Malaysia.

Sebanyak tiga (3) kertas pemakluman utama telah dibentangkan bagi memperkukuh inisiatif latihan kemahiran kebangsaan:

1. Inisiatif Penambahbaikan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS)

• Proses pembangunan NOSS kini diperkemas dengan integrasi Kecerdasan Buatan (AI), yang menyasarkan pemendekan tempoh penggubalan daripada 6 bulan kepada tahap maksimum 3 bulan.

• Pengenalan inisiatif strategik baharu seperti Standard Sinergi (Pakej NOSS Tersuai), Standard Kepakaran dan Standard Adaptasi Industri bagi memastikan pengiktirafan terus sejajar dengan keperluan industri semasa.

• Pelaksanaan sistem permohonan digital sepenuhnya bertujuan mengurangkan kebergantungan kepada dokumen fizikal serta meningkatkan keseragaman dan kelancaran proses tadbir urus.

2. Pelan Tindakan Pengantarabangsaan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) 2026–2030

• Pembentangan pelan strategik yang berteraskan penjenamaan SkillsMalaysia Global dengan membawa tema "Kemahiran Global, Inovasi Tanpa Sempadan".

• Tumpuan diberikan kepada enam (6) Teras Strategik bagi memastikan Sistem Persijilan Kemahiran Malaysia (SPKM) mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa serta memperluas jalinan kolaborasi global.

3. Analisis Keberhasilan Kerangka Blueprint Pembangunan Modal Insan Berkemahiran 2021–2025

• Pembentangan ini melaporkan pencapaian positif secara konsisten dalam pelbagai indikator utama, termasuk peningkatan jumlah persijilan kemahiran, kadar kebolehkerjaan graduan TVET yang memberangsangkan, serta pelonjakan pengeluaran sijil Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH).

• Dapatan penganalisaan ini akan dijadikan asas rujukan rasmi bagi merangka hala tuju baharu (Way Forward) MPKK untuk Kerangka 2026–2030.

Urusetia MPKK dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) akan terus komited dalam melaksanakan resolusi mesyuarat bagi merealisasikan agenda pemerkasaan kemahiran negara dan melahirkan tenaga kerja mahir yang kompetitif di persada global.

Mesyuarat Kerja Pembangunan Blueprint Jawatankuasa Kerja (JKK) Majlis Pembangunan Kemahiran Kebangsaan (MPKK) Siri Kedua Tahun 2026–2030 Siri 2

Pada 13 hingga 15 Oktober 2026, Mesyuarat Kerja Pembangunan Blueprint Jawatankuasa Kerja (JKK) Majlis Pembangunan Kemahiran Kebangsaan (MPKK) Siri Kedua Tahun 2026–2030 telah diadakan dengan dipengerusikan oleh Dr. Mohd Faizal bin Tokeran, Pengarah Bahagian Perancangan, Pembangunan dan Antarabangsa (BPPA), JPK.

Mesyuarat kerja ini dilaksanakan sebagai kesinambungan Siri 1 bagi menentukan hala tuju baharu dan memuktamadkan cadangan lima kluster strategik kepada Blueprint JKK MPKK 2026–2030 serta penghasilan pelan tindakan yang lebih tersusun, praktikal, boleh dilaksana dan boleh diukur.

Mesyuarat kerja ini turut melibatkan ahli JKK MPKK, wakil agensi, urus setia serta pemegang taruh luar merangkumi agensi dan pemain industri seperti MARA, Institut Kemahiran Islam Darul Ridzuan (IKDAR), GIATMARA Sdn. Bhd., GITC dan Reservoir Link Solutions Sdn. Bhd., selain penyertaan aktif CIAST dan bahagian-bahagian di JPK.

Hasil mesyuarat kerja ini akan menjadi asas kepada penyediaan Blueprint JKK MPKK 2026–2030 yang bersepadu dan berimpak tinggi ke arah memperkukuh agenda (R)EVOLUSI TVET dan Gagasan JPK 2.0.