1. Penubuhan Jawatankuasa
i. Penubuhan Jawatankuasa Kerja Persijilan dan Pengiktirafan adalah selaras dengan keputusan mesyuarat Majlis Pembangunan Kemahiran Kebangsaan (MPKK) Bil. 3/2018 bertarikh 8 Oktober 2018 bagi melaksanakan fungsi Majlis yang diperuntukkan di bawah Seksyen 4(b) Akta Pembangunan Kemahiran Kebangsaan 2006 (Akta 652) iaitu menasihati Menteri tentang perkara-perkara yang berhubungan dengan Akta ini.
ii. Di bawah Seksyen 8(1), Majlis boleh menubuhkan apa-apa jawatankuasa yang difikirkan perlu atau suai manfaat untuk membantunya melaksanakan fungsinya di bawah Akta 652. Di bawah Seksyen 8(2), Anggota sesuatu jawatankuasa yang ditubuhkan di bawah subseksyen (1) boleh dilantik daripada kalangan anggota Majlis dan di bawah Seksyen 8(4). Jawatankuasa yang ditubuhkan di bawah subseksyen (1) boleh mengundang mana-mana orang untuk menghadiri mana-mana mesyuarat suatu jawatankuasa bagi maksud menasihatinya mengenai apa-apa perkara yang sedang dibincangkan.
2. Fungsi
Fungsi Jawatankuasa Kerja Persijilan dan Pengiktirafan adalah seperti berikut:
i. Mengharmonikan hubungan di kalangan badan kawal selia persijilan/ pengiktirafan TVET untuk mengelakkan pertindihan kuasa serta mewujudkan career path yang lebih jelas;
ii. Membangunkan sistem jaminan kualiti yang standard di kalangan badan kawal selia persijilan/ pengiktirafan TVET yang ada di Malaysia;
iii. Mengharmonikan proses artikulasi di antara institusi TVET dan Universiti/IPT;
iv. Menjadikan SPKM diiktiraf sebagai persijilan tunggal TVET Negara untuk semua program TVET Tahap 1 hingga Tahap 5.
3. Keanggotaan
Keanggotaan Jawatankuasa Kerja Persijilan dan Pengiktirafan adalah dilantik oleh Pengerusi Majlis Pembangunan Kemahiran Kebangsaan (MPKK) dan terdiri daripada:
i. Seorang Pengerusi yang dilantik dalam kalangan Anggota MPKK;
ii. Seorang Timbalan Pengerusi yang dilantik daripada kalangan anggota Jawatankuasa Kerja;
iii. Ahli Jawatankuasa Kerja Persijilan dan Pengiktirafan lain yang terdiri daripada:
- Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPDK)
- Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
- Kementerian Belia dan Sukan (KBS)
- Kementerian Pertahanan (KP)
- Kementerian Dalam Negeri (KDN)
- Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM)
- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)
- Kementerian Pertanian dan Industri Malaysia (MAFI)
- Jabatan Tenaga Manusia (JTM)
- Majlis Amanah Rakyat (MARA)
- GIATMARA Sendirian Berhad
- Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)
- Agensi Kelayakan Malaysia (MQA)
- Jabatan Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan (JKKP), KSM
- Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Kementerian Kerja Raya (KKR)
- Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA)
- Kementerian Sumber Manusia (KSM)
- Suruhanjaya Tenaga
- Kementerian Pelancongan, Seni Dan Budaya Malaysia (MOTAC)
- National Aerospace Industry Coordinating Office (NAICO)
- Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK)
- Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB)
- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC)
- PersatuanTeknologi Malaysia (TAM)
- Persatuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF)
- Persekutuan Pusat Bertauliah JPK Malaysia (FeMAC)
- Malaysian Board of Technologists (MBOT)
- Malaysian Society for Non-Destructive Testing (MSNT)
- Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK)
4. Pelantikan, Pelantikan Semula, Pembatalan Dan Peletakan Jawatan
i. Anggota Jawatankuasa Kerja Persijilan dan Pengiktirafan yang dilantik hendaklah memegang jawatan bagi tempoh yang tidak melebihi tiga (3) tahun.
ii. Anggota Jawatankuasa Kerja Persijilan dan Pengiktirafan boleh dilantik semula bagi tempoh tiga (3) tahun.
iii. Pelantikan mana-mana anggota Jawatankuasa Kerja Persijilan dan Pengiktirafan boleh pada bila-bila masa dibatalkan oleh Pengerusi MPKK tanpa memberi apa-apa sebab bagi pembatalan itu.
iv. Seseorang anggota Jawatankuasa Kerja Persijilan dan Pengiktirafan boleh pada bila-bila masa meletakkan jawatannya dengan memberikan notis bertulis kepada Pengerusi MPKK.
5. Elaun
i. Anggota Jawatankuasa Kerja Persijilan dan Pengiktirafan yang menghadiri mesyuarat jawatankuasa boleh dibayar elaun mengikut pekeliling perbendaharaan yang sedang berkuatkuasa.
ii. Mengikut Seksyen 8(5) Akta 652, anggota sesuatu jawatankuasa dan mana-mana orang yang diundang di bawah subseksyen (4) boleh dibayar apa-apa elaun sebagaimana yang ditentukan oleh Majlis dengan kelulusan Menteri.
6. Mesyuarat
i. Jawatankuasa Kerja Persijilan dan Pengiktirafan hendaklah bermesyuarat dengan seberapa kerap yang tidak luput lebih daripada tiga (3) bulan antara mesyuarat. Bilangan mesyuarat boleh ditambah mengikut keperluan.
ii. Jika pengerusi tetap tidak hadir, anggota yang hadir mesyuarat hendaklah memilih pengerusi sementara dalam kalangan anggota yang hadir untuk mempengerusikan mesyuarat.
iii. Mana-mana anggota Jawatankuasa Kerja Persijilan dan Pengiktirafan yang tidak hadir hendaklah menghantar wakil dari agensi/syarikat yang sama yang diwakilinya yang pada fikirannya layak menganggotai Jawatankuasa Kerja Tadbir Urus TVET.
iv. Kuorum mesyuarat Jawatankuasa Kerja Persijilan dan Pengiktirafan ialah seramai tujuh (7) orang. Wakil kepada anggota Jawatankuasa Kerja Persijilan dan Pengiktirafan adalah termasuk dalam kuorum mesyuarat.
v. Jika atas apa-apa persoalan yang hendak ditentukan oleh Jawatankuasa Kerja Persijilan dan Pengiktirafan terdapat suatu bilangan undi yang sama banyak, Pengerusi tetap atau anggota lain jika dia yang mempengerusikan mesyuarat, hendaklah mempunyai undi pemutus sebagai tambahan kepada undi dalam perbincangannya.
7. Jawatankuasa Kerja Persijilan dan Pengiktirafan boleh mengundang orang lain menghadiri mesyuarat
Jawatankuasa Kerja Persijilan dan Pengiktirafan boleh mengundang mana-mana orang untuk menghadiri mana-mana mesyuarat Jawatankuasa Kerja bagi maksud membantu atau menasihatinya tentang apa-apa perkara yang sedang dibincangkan, tetapi mana-mana orang yang hadir itu tidak berhak untuk mengundi dalam mesyuarat itu.