JKK PENGIKTIRAFAN PAKAR

Meningkatkan kualiti dan kepakaran pengajar TVET melalui pengiktirafan kepakaran pengajar TVET sebagai Master Trainer.
1. Penubuhan Jawatankuasa
1.1 Penubuhan Jawatankuasa Kerja Pengiktirafan Pakar adalah selaras dengan keputusan mesyuarat Majlis Pembangunan Kemahiran Kebangsaan (MPKK) Bil. 3/2018 bertarikh 8 Oktober, 2018 bagi melaksanakan fungsi Majlis yang diperuntukkan di bawah Seksyen 4(b) Akta Pembangunan Kemahiran Kebangsaan 2006 (Akta 652) iaitu menasihati Menteri tentang perkara-perkara yang berhubungan dengan Akta ini.
1.2 Di bawah Seksyen 8 (1), Majlis boleh menubuhkan apa-apa jawatankuasa yang difikirkan perlu atau suai manfaat untuk membantunya melaksanakan fungsinya di bawah Akta 652.  Di bawah Seksyen 8 (2), Anggota sesuatu jawatankuasa yang ditubuhkan di bawah subseksyen (1) boleh dilantik daripada kalangan anggota Majlis dan di bawah Seksyen 8(4), Jawatankuasa yang ditubuhkan di bawah subseksyen (1) boleh mengundang mana-mana orang untuk menghadiri mana-mana mesyuarat suatu jawatankuasa bagi maksud menasihatinya mengenai apa-apa perkara yang sedang dibincangkan. 
2. Keanggotaan 
Keanggotaan Jawatankuasa Kerja Pengiktirafan Pakar adalah dilantik oleh Pengerusi Majlis Pembangunan Kemahiran Kebangsaan (MPKK) dan terdiri daripada:
i. Pengerusi yang dilantik dari wakil Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN);
ii. Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan JPK dilantik sebagai Timbalan Pengerusi;
iii. Pengarah CIAST dilantik sebagai Setiausaha; 
iv. Ahli-ahli lain yang terdiri daripada :
- Pengarah Bahagian Modal Insan, Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) 
- Timbalan Ketua Pengarah, Jabatan Tenaga Manusia (JTM), KSM
- Timbalan Pengarah Kemahiran, Bahagian Pembangunan, Kemahiran Belia (BPKB), KBS 
- Pengarah Bahagian Kemahiran dan Teknikal MARA, KPLB
- Pengarah Bahagian Kompetensi dan Peningkatan Kerjaya, Jabatan - Pengajian Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), KPT
- Pengarah Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (BPLTV), KPM
- Timbalan Pengarah Bahagian Pembangunan Modal Insan, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA)
- Setiausaha Bahagian Dasar, Kementerian Sumber Manusia (KSM)
- Pendaftar Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT)
- Presiden FeMAC
- Panel Industri dalam bidang berkaitan
v. Ketua Program Kelayakan Kekompetenan, CIAST adalah dilantik sebagai Urusetia Jawatankuasa Kerja Pengiktirafan Pakar.
3. Pelantikan, Pelantikan Semula, Pembatalan Dan Peletakan Jawatan
3.1 Anggota Jawatankuasa Kerja Pengiktirafan Pakar yang dilantik hendaklah memegang jawatan bagi tempoh yang tidak melebihi tiga (3) tahun.
3.2 Anggota Jawatankuasa Kerja Pengiktirafan Pakar boleh dilantik semula bagi tempoh tiga (3) tahun.
3.3 Pelantikan mana-mana anggota Jawatankuasa Kerja Pengiktirafan Pakar boleh pada bila-bila masa dibatalkan oleh Pengerusi MPKK tanpa memberi apa-apa sebab bagi pembatalan itu.
3.4 Seseorang anggota Jawatankuasa Kerja Pengiktirafan Pakar boleh pada bila-bila masa meletakkan jawatannya dengan memberikan notis bertulis kepada Pengerusi MPKK.   
4.Elaun
4.1 Anggota Jawatankuasa Kerja Pengiktirafan Pakar yang menghadiri mesyuarat jawatankuasa boleh dibayar elaun mengikut pekeliling perbendaharaan yang sedang berkuatkuasa.
4.2 Mengikut Seksyen 8(5) Akta 652, anggota sesuatu jawatankuasa dan mana-mana orang yang diundang di bawah subseksyen (4) boleh dibayar apa-apa elaun sebagaimana yang ditentukan oleh Majlis dengan kelulusan Menteri.
5. Mesyuarat 
5.1 Jawatankuasa Kerja Pengiktirafan Pakar hendaklah bermesyuarat dengan seberapa kerap yang tidak luput lebih daripada tiga (3) bulan antara mesyuarat.  Bilangan mesyuarat boleh ditambah mengikut keperluan.
5.2 Jika pengerusi tetap tidak hadir, anggota yang hadir mesyuarat hendaklah memilih pengerusi sementara dalam kalangan anggota yang hadir untuk mempengerusikan mesyuarat.
5.3 Mana-mana anggota Jawatankuasa Kerja Pengiktirafan Pakar yang tidak hadir hendaklah menghantar wakil dari agensi/syarikat yang sama yang diwakilinya yang pada fikirannya layak menganggotai Jawatankuasa Kerja Pengiktirafan Pakar.
5.4 Kuorum mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pengiktirafan Pakar ialah seramai empat (4) orang. Wakil kepada anggota Jawatankuasa Kerja Pengiktirafan Pakar adalah termasuk dalam kuorum mesyuarat. 
5.5 Jika atas apa-apa persoalan yang hendak ditentukan oleh Jawatankuasa Kerja Pengiktirafan Pakar terdapat suatu bilangan undi yang sama banyak, Pengerusi tetap atau anggota lain jika dia yang mempengerusikan mesyuarat, hendaklah mempunyai undi pemutus sebagai tambahan kepada undi dalam perbincangannya.
6. Jawatankuasa Kerja Pengiktirafan Pakar boleh mengundang orang lain menghadiri mesyuarat
Jawatankuasa Kerja Pengiktirafan Pakar boleh mengundang mana-mana orang untuk menghadiri mana-mana mesyuarat Jawatankuasa Kerja bagi maksud membantu atau menasihatinya tentang apa-apa perkara yang sedang dibincangkan, tetapi mana-mana orang yang hadir itu tidak berhak untuk mengundi dalam mesyuarat itu.