MESYUARAT MAJLIS PEMBANGUNAN KEMAHIRAN KEBANGSAAN (MPKK) BILANGAN 4 TAHUN 2025
20 November 2025, Kuala Lumpur - YBrs. Tuan Sutekno bin Ahmad Belon, Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) KESUMA merangkap Timbalan Pengerusi MPKK, telah mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pembangunan Kemahiran Kebangsaan (MPKK) Bil. 4/2025 yang juga merupakan mesyuarat terakhir MPKK bagi tahun ini. Mesyuarat ini menandakan kesinambungan komitmen kerajaan dalam memperkukuh pembangunan standard kemahiran negara.
Pada sesi kali ini, MPKK telah meluluskan 31 Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) baharu. Secara keseluruhan, sebanyak 112 NOSS telah diluluskan sepanjang tahun 2025, sekali gus memperkukuh asas kurikulum TVET negara. NOSS memainkan peranan penting sebagai rujukan standard kompetensi industri— memastikan latihan TVET sentiasa relevan dengan teknologi semasa, memenuhi keperluan pasaran kerja, dan meningkatkan kebolehpasaran tenaga kerja Malaysia.
Mesyuarat turut memperhalusi dua kertas pembentangan strategik:
i. Garis Panduan Pelaksanaan Tahfiz TVET
ii. Hasil Dapatan Tripartite Engagement 5 Bidang High Growth High Value (HGHV) Tahun 2024
Turut disampaikan penghargaan kepada YBrs. Ts. Zuleah binti Darsong, Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Kemahiran, sempena persaraan beliau. Seluruh anggota MPKK menzahirkan ucapan terima kasih atas kepimpinan dan sumbangan besar beliau dalam memacu agenda pembangunan kemahiran negara.
KESUMA dan MPKK akan terus memperkukuh ekosistem TVET negara, memastikan standard kemahiran yang dibangunkan kekal dinamik, berimpak dan selaras dengan keperluan industri masa hadapan.
Terima kasih dan selamat maju jaya!
MESYUARAT JKK MPKK BIL. 2/2025
Putrajaya, 9 Oktober 2025 – YBrs. Ts. Zuleah binti Darsong, Ketua Pengarah Pembangunan Kemahiran, JPK KESUMA telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) Majlis Pembangunan Kemahiran Kebangsaan (MPKK) Bil. 2/2025 yang berlangsung di Putrajaya.
Mesyuarat ini merupakan siri kedua daripada dua (2) siri mesyuarat JKK MPKK yang telah dirancang bagi tahun 2025, bertujuan menilai kemajuan pelaksanaan pelan tindakan strategik TVET negara serta memperkukuh hala tuju pembangunan kemahiran secara menyeluruh.
Fokus utama mesyuarat adalah membincangkan isu-isu strategik berkaitan pelaksanaan TVET, sejajar dengan aspirasi Kerajaan dalam memartabatkan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional sebagai pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi berasaskan kemahiran tinggi.
Sebanyak lapan Jawatan kuasa Kerja telah membentangkan pencapaian kumulatif Kerangka Blueprint TVET Negara 2021–2025, merangkumi pelbagai bidang utama termasuk pembangunan dasar dan standard, penarafan institusi, pemantapan kerjasama industri, serta pelaksanaan program latihan berimpak tinggi yang memberi manfaat langsung kepada tenaga kerja dan industri.
Mesyuarat turut dihadiri oleh wakil pelbagai agensi utama dalam ekosistem TVET negara seperti MARA, HRD Corp, PTPK, GiatMARA, Malaysia Oil & Gas Services Council (MOGSC), Kementerian Ekonomi, Bahagian Pendidikan & Latihan Teknikal Vokasional (BPLTV), serta IKDAR. Kehadiran pelbagai agensi ini mencerminkan komitmen bersama dalam memperkukuh penyelarasan dasar, standard dan pelaksanaan latihan kemahiran yang inklusif dan menyeluruh.
Perbincangan yang dijalankan secara berstruktur, kolaboratif dan berfokus hasil, telah membuka ruang kepada penambahbaikan berterusan dalam sistem penyampaian TVET Negara. Ia sekaligus memperkukuh keberkesanan pelaksanaan inisiatif pembangunan kemahiran berimpak tinggi bagi menyokong sasaran Kerajaan mencapai 35% tenaga kerja berkemahiran menjelang tahun 2030.




















































