JKK KERJASAMA STRATEGIK

Meneroka dan membentuk kerjasama strategik di antara kerajaan, industri serta pusat latihan bagi merancakkan pelaksanaan TVET, memperkukuhkan kerjasama antara industri dan kerajaan ke arah industry driven dalam pelaksanaan TVET.
1. Penubuhan Jawatankuasa
1.1 Penubuhan Jawatankuasa Kerja Kerjasama Strategik adalah selaras dengan keputusan mesyuarat Majlis Pembangunan Kemahiran Kebangsaan (MPKK) Bil. 3/2018 bertarikh 8 Oktober, 2018 bagi melaksanakan fungsi Majlis yang diperuntukkan di bawah Seksyen 4(b) Akta Pembangunan Kemahiran Kebangsaan 2006 (Akta 652) iaitu menasihati Menteri tentang perkara-perkara yang berhubungan dengan Akta ini.
1.2 Di bawah Seksyen 8 (1), Majlis boleh menubuhkan apa-apa jawatankuasa yang difikirkan perlu atau sesuai manfaat untuk membantunya melaksanakan fungsinya di bawah Akta 652. Di bawah Seksyen 8 (2), anggota sesuatu jawatankuasa yang ditubuhkan di bawah subseksyen (1) boleh dilantik daripada kalangan anggota Majlis dan di bawah Seksyen 8(4), Jawatankuasa yang ditubuhkan di bawah subseksyen (1) boleh mengundang mana-mana orang untuk menghadiri mana-mana mesyuarat suatu jawatankuasa bagi maksud menasihatinya mengenai apa-apa perkara yang sedang dibincangkan.
2. Fungsi
Fungsi Jawatankuasa Kerja Kerjasama Strategik adalah seperti berikut: -
i. Membentuk kerjasama strategik di antara kerajaan, industri serta pusat latihan bagi merancakkan pelaksanaan TVET;
ii. Memperkukuhkan kerjasama antara industri dan kerajaan ke arah industry driven dalam pelaksanaan TVET;
iii. Mewujudkan perkongsian ‘training material’ dan ‘training equipment’ di antara kerajaan, industri dan pusat latihan bagi memaksimumkan sumber yang ada;
iv. Mewujudkan kerangka kerjasama secara bersasar dalam hubungan industri antara pihak industri dan pusat latihan melalui perjanjian MOU;
v. Menyemarakkan lagi TVET di kalangan pekerja industri yang tidak mempunyai apa – apa kemahiran secara bersijil;
vi. Memberikan nasihat terhadap penambahbaikan kandungan kurikulum yang dibangunkan bagi sesuaikan dengan kehendak industri terkini dan teknologi semasa; dan
vii. Apa-apa perkara bertujuan menambahbaik kerjasama strategik.
3. Keanggotaan
Keanggotaan Jawatankuasa Kerja Kerjasama Strategik adalah dilantik oleh Pengerusi Majlis Pembangunan Kemahiran Kebangsaan (MPKK) dan terdiri daripada:
i. Seorang Pengerusi yang dilantik dalam kalangan Anggota MPKK;
ii. Seorang Timbalan Pengerusi yang dilantik daripada kalangan anggota Jawatankuasa Kerja;
iii. Ahli Jawatankuasa Kerja Kerjasama Strategik lain yang terdiri daripada :
- Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB)
- National Association of Women Enterpreneurs of Malaysia (NAWEM)
- Federation of Malaysian Manufacturers (FMM)
- Beberapa orang ahli dari pihak Industry Lead Body (ILB) yang difikirkan sesuai: dan
- Ahli-ahli yang terdiri daripada agensi awam dan swasta yang bersesuaian dalam meningkatkan Kerjasama Strategik.
iv. Setiausaha adalah Pengarah Bahagian Kerjasama Strategik (BKS), JPK.
4. Pelantikan, Pelantikan Semula, Pembatalan Dan Peletakan Jawatan
i. Anggota Jawatankuasa Kerja Kerjasama Strategik yang dilantik hendaklah memegang jawatan bagi tempoh yang tidak melebihi tiga (3) tahun.
ii. Anggota Jawatankuasa Kerja Kerjasama Strategik boleh dilantik semula bagi tempoh tiga (3) tahun.
iii. Pelantikan mana-mana anggota Jawatankuasa Kerja Kerjasama Strategik boleh pada bila-bila masa dibatalkan oleh Pengerusi MPKK tanpa memberi apa-apa sebab bagi pembatalan itu.
iv. Seseorang anggota Jawatankuasa Kerja Kerjasama Strategik boleh pada bila-bila masa meletakkan jawatannya dengan memberikan notis bertulis kepada Pengerusi MPKK.
5. Elaun
i. Anggota Jawatankuasa Kerja Kerjasama Strategik yang menghadiri mesyuarat jawatankuasa boleh dibayar elaun mengikut pekeliling perbendaharaan yang sedang berkuatkuasa.
ii. Mengikut Seksyen 8(5) Akta 652, anggota sesuatu jawatankuasa dan mana-mana orang yang diundang di bawah subseksyen (4) boleh dibayar apa-apa elaun sebagaimana yang ditentukan oleh Majlis dengan kelulusan Menteri.
6. Mesyuarat
i. Jawatankuasa Kerja Kerjasama Strategik hendaklah bermesyuarat dengan seberapa kerap yang tidak luput lebih daripada tiga (3) bulan antara mesyuarat. Bilangan mesyuarat boleh ditambah mengikut keperluan.
ii. Jika pengerusi tetap tidak hadir, anggota yang hadir mesyuarat hendaklah memilih pengerusi sementara dalam kalangan anggota yang hadir untuk mempengerusikan mesyuarat.
iii. Mana-mana anggota Jawatankuasa Kerja Kerjasama Strategik yang tidak hadir hendaklah menghantar wakil dari agensi/syarikat yang sama yang diwakilinya yang pada fikirannya layak menganggotai Jawatankuasa tersebut.
iv. Kuorum mesyuarat Jawatankuasa Kerja Kerjasama Strategik ialah seramai empat (4) orang. Wakil kepada anggota Jawatankuasa Kerja Kerjasama Strategik adalah termasuk dalam kuorum mesyuarat.
v. Jika atas apa-apa persoalan yang hendak ditentukan oleh Jawatankuasa Kerja Kerjasama Strategik terdapat suatu bilangan undi yang sama banyak, Pengerusi tetap atau anggota lain jika dia yang mempengerusikan mesyuarat, hendaklah mempunyai undi pemutus sebagai tambahan kepada undi dalam perbincangannya.
7. Jawatankuasa Kerja Kerjasama Strategik boleh mengundang orang lain menghadiri mesyuarat
Jawatankuasa Kerja Kerjasama Strategik boleh mengundang mana-mana orang untuk menghadiri mana-mana mesyuarat Jawatankuasa Kerja bagi maksud membantu atau menasihatinya tentang apa-apa perkara yang sedang dibincangkan, tetapi mana-mana orang yang hadir itu tidak berhak untuk mengundi dalam mesyuarat itu.