JKK KUALITI LATIHAN TVET

Meneroka dan mencadangkan mekanisme pelaksanaan latihan yang lebih signifikan selaras dengan keperluan industri negara termasuklah memantapkan mekanisma pembangunan kurikulum latihan dan memperkukuh proses penyampaian latihan di institusi latihan.
1. Penubuhan Jawatankuasa

1.1 Penubuhan Jawatankuasa Kerja Peningkatan Kualiti Latihan TVET adalah selaras dengan keputusan mesyuarat Majlis Pembangunan Kemahiran Kebangsaan (MPKK) Bil. 3/2018 bertarikh 8 Oktober, 2018 bagi melaksanakan fungsi Majlis yang diperuntukkan di bawah Seksyen 4(b) Akta Pembangunan Kemahiran Kebangsaan 2006 (Akta 652) iaitu menasihati Menteri tentang perkara-perkara yang berhubungan dengan Akta ini.
1.2 Di bawah Seksyen 8 (1), Majlis boleh menubuhkan apa-apa jawatankuasa yang difikirkan perlu atau suai manfaat untuk membantunya melaksanakan fungsinya di bawah Akta 652.  Di bawah Seksyen 8 (2), Anggota sesuatu jawatankuasa yang ditubuhkan di bawah subseksyen (1) boleh dilantik daripada kalangan anggota Majlis dan di bawah Seksyen 8(4), Jawatankuasa yang ditubuhkan di bawah subseksyen (1) boleh mengundang mana-mana orang untuk menghadiri mana-mana mesyuarat suatu jawatankuasa bagi maksud menasihatinya mengenai apa-apa perkara yang sedang dibincangkan.

2. Keanggotaan 

Keanggotaan Jawatankuasa Kerja Peningkatan Kualiti Latihan TVET adalah dilantik oleh Pengerusi Majlis Pembangunan Kemahiran Kebangsaan (MPKK) dan terdiri daripada:
i. Seorang Pengerusi yang dilantik dalam kalangan Anggota MPKK;
seorang Timbalan Pengerusi yang dilantik daripada kalangan anggota Jawatankuasa Kerja;
ii. Ahli Jawatankuasa Kerja Peningkatan Kualiti Latihan TVET lain yang terdiri daripada :
- Majlis Amanah Rakyat (MARA) 
- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) 
- Malaysian German Chamber of Commerce & Industry (MGCC) 
iii. Ahli-ahli yang terdiri daripada agensi awam dan swasta yang bersesuaian dalam meningkatkan kualiti latihan TVET (Bahagian perlu cadangkan untuk pelantikan)
iv. Setiausaha adalah Pengarah Bahagian Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS), JPK. 
3. Pelantikan, Pelantikan Semula, Pembatalan Dan Peletakan Jawatan

3.1 Anggota Jawatankuasa Kerja Peningkatan Kualiti Latihan TVET yang dilantik hendaklah memegang jawatan bagi tempoh yang tidak melebihi tiga (3) tahun.
3.2 Anggota Jawatankuasa Kerja Peningkatan Kualiti Latihan TVET boleh dilantik semula bagi tempoh tiga (3) tahun.
3.3 Pelantikan mana-mana anggota Jawatankuasa Kerja Peningkatan Kualiti Latihan TVET boleh pada bila-bila masa dibatalkan oleh Pengerusi MPKK tanpa memberi apa-apa sebab bagi pembatalan itu.
3.4 Seseorang anggota Jawatankuasa Kerja Peningkatan Kualiti Latihan TVET boleh pada bila-bila masa meletakkan jawatannya dengan memberikan notis bertulis kepada Pengerusi MPKK. 
4.Elaun

4.1 Anggota Jawatankuasa Kerja Peningkatan Kualiti Latihan TVET yang menghadiri mesyuarat jawatankuasa boleh dibayar elaun mengikut pekeliling perbendaharaan yang sedang berkuatkuasa.
4.2 Mengikut Seksyen 8(5) Akta 652, anggota sesuatu jawatankuasa dan mana-mana orang yang diundang di bawah subseksyen (4) boleh dibayar apa-apa elaun sebagaimana yang ditentukan oleh Majlis dengan kelulusan Menteri.
5. Mesyuarat 

5.1 Jawatankuasa Kerja Peningkatan Kualiti Latihan TVET hendaklah bermesyuarat dengan seberapa kerap yang tidak luput lebih daripada tiga (3) bulan antara mesyuarat.  Bilangan mesyuarat boleh ditambah mengikut keperluan.
5.2 Jika pengerusi tetap tidak hadir, anggota yang hadir mesyuarat hendaklah memilih pengerusi sementara dalam kalangan anggota yang hadir untuk mempengerusikan mesyuarat.
5.3 Mana-mana anggota Jawatankuasa Kerja Peningkatan Kualiti Latihan TVET yang tidak hadir hendaklah menghantar wakil dari agensi/syarikat yang sama yang diwakilinya yang pada fikirannya layak menganggotai Jawatankuasa Kerja Tadbir Urus TVET.
5.4 Kuorum mesyuarat Jawatankuasa Kerja Peningkatan Kualiti Latihan TVET ialah seramai empat (4) orang. Wakil kepada anggota Jawatankuasa Kerja Persijilan dan Pengiktirafan adalah termasuk dalam kuorum mesyuarat. 
5.5 Jika atas apa-apa persoalan yang hendak ditentukan oleh Jawatankuasa Kerja Peningkatan Kualiti Latihan TVET terdapat suatu bilangan undi yang sama banyak, Pengerusi tetap atau anggota lain jika dia yang mempengerusikan mesyuarat, hendaklah mempunyai undi pemutus sebagai tambahan kepada undi dalam perbincangannya.
6. Jawatankuasa Kerja Peningkatan Kualiti Latihan TVET boleh mengundang orang lain menghadiri mesyuarat

Jawatankuasa Kerja Peningkatan Kualiti Latihan TVET boleh mengundang mana-mana orang untuk menghadiri mana-mana mesyuarat Jawatankuasa Kerja bagi maksud membantu atau menasihatinya tentang apa-apa perkara yang sedang dibincangkan, tetapi mana-mana orang yang hadir itu tidak berhak untuk mengundi dalam mesyuarat itu.