JKK PEMBANGUNAN TAHFIZ TVET

Membantu dan menasihati institusi tahfiz negara dalam memperkasa dan mewujudkan halatuju pembangunan kemahiran dan laluan kerjaya pelajar tahfiz dalam bidang TVET.
1. Penubuhan Jawatankuasa
1.1 Penubuhan Jawatankuasa Kerja Pembangunan Tahfiz TVET adalah selaras dengan keputusan mesyuarat Majlis Pembangunan Kemahiran Kebangsaan (MPKK) Bil. 2/2020 bertarikh 13 November 2020 bagi melaksanakan fungsi Majlis yang diperuntukkan di bawah Seksyen 4(b) Akta Pembangunan Kemahiran Kebangsaan 2006 (Akta 652) iaitu menasihati Menteri tentang perkara-perkara yang berhubungan dengan Akta ini.
1.2 Di bawah Seksyen 8 (1), Majlis boleh menubuhkan apa-apa jawatankuasa yang difikirkan perlu atau suai manfaat untuk membantunya melaksanakan fungsinya di bawah Akta 652. Di bawah Seksyen 8 (2), Anggota sesuatu jawatankuasa yang ditubuhkan di bawah subseksyen (1) boleh dilantik daripada kalangan anggota Majlis dan di bawah Seksyen 8(4), Jawatankuasa yang ditubuhkan di bawah subseksyen (1) boleh mengundang mana-mana orang untuk menghadiri mana-mana mesyuarat suatu jawatankuasa bagi maksud menasihatinya mengenai apa-apa perkara yang sedang dibincangkan.
2. Fungsi
2.1 Fungsi Jawatankuasa Kerja Pembangunan Tahfiz TVET adalah untuk mewujudkan Kerangka Kerja Pemerkasaan TVET-Tahfiz yang merangkumi perkara berikut:
i. Membantu dan menasihati institusi tahfiz Negara dalam memperkasa kurikulum/ bahan pengajaran & pembelajaran/ personel/persijilan melalui SPKM;
ii. Membincang dan mewujudkan halatuju dan laluan kerjaya pelajar tahfiz dalam bidang TVET;
iii. Mewujudkan hala tuju yang jelas bagi melahirkan pendidik – pendidik tahfiz yang berkemahiran dan berpengetahuan dalam bidang TVET;
iv. Membantu dan memberi khidmat nasihat bagi perkara berkaitan pentauliahan dan persijilan SPKM;
v. Mengenalpasti keperluan permintaan program TVET di institusi tahfiz berdasarkan keperluan semasa dan menasihati keperluan program yang sesuai; dan
vi. Menyelaras isu, cabaran dan memperkukuh serta memperkasakan latihan TVET melibatkan institusi tahfiz
3. Keanggotaan
3.1 Keanggotaan Jawatankuasa Kerja Pembangunan Tahfiz TVET adalah dilantik oleh Pengerusi Majlis Pembangunan Kemahiran Kebangsaan (MPKK) dan terdiri daripada:
i. Seorang Pengerusi yang dilantik dalam kalangan Anggota MPKK atau mana-mana individu yang berkelayakan;
ii. Seorang Timbalan Pengerusi yang dilantik daripada kalangan anggota Jawatankuasa Kerja;
iii. Ahli Jawatankuasa Kerja Pembangunan Tahfiz TVET lain yang terdiri daripada:
- Jabatan Perdana Menteri (JPM);
- Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM);
- Majlis/Jabatan Agama Islam Negeri;
- Jabatan Agama Islam Negeri;
- Wakil Institusi Latihan Tahfiz Awam/Swasta;
- Wakil Yayasan/Persatuan Tahfiz Awam
- Wakil Yayasan/Persatuan Tahfiz Swasta; dan
- Ahli-ahli yang terdiri daripada agensi awam dan swasta yang bersesuaian dalam memperkasa dan meningkatkan pendidikan Tahfiz TVET.
iv. Setiausaha adalah Bahagian Penguatkuasaan dan Kawal Selia (P&KS); dan
v. Ahli jemputan adalah mana-mana pegawai yang diundang oleh Pengerusi atau Jawatankuasa.
4. Pelantikan, Pelantikan Semula, Pembatalan Dan Peletakan Jawatan
i. Anggota Jawatankuasa Kerja Pembangunan Tahfiz TVET yang dilantik hendaklah memegang jawatan bagi tempoh yang tidak melebihi tiga (3) tahun;
ii. Anggota Jawatankuasa Kerja Pembangunan Tahfiz TVET boleh dilantik semula bagi tempoh tiga (3) tahun;
iii. Pelantikan mana-mana anggota Jawatankuasa Kerja Pembangunan Tahfiz TVET boleh pada bila-bila masa dibatalkan oleh Pengerusi MPKK tanpa memberi apa-apa sebab bagi pembatalan itu; dan
iv. Seseorang anggota Jawatankuasa Kerja Pembangunan Tahfiz TVET boleh pada bila-bila masa meletakkan jawatannya dengan memberikan notis bertulis kepada Pengerusi MPKK.
5. Elaun
i. Anggota Jawatankuasa Kerja Pembangunan Tahfiz TVET yang menghadiri mesyuarat jawatankuasa boleh dibayar elaun mengikut pekeliling perbendaharaan yang sedang berkuatkuasa; dan
ii. Mengikut Seksyen 8(5) Akta 652, anggota sesuatu jawatankuasa dan mana-mana orang yang diundang di bawah subseksyen (4) boleh dibayar apa-apa elaun sebagaimana yang ditentukan oleh Majlis dengan kelulusan Menteri.
6. Mesyuarat
i. Jawatankuasa Kerja Pembangunan Tahfiz TVET hendaklah bermesyuarat dengan seberapa kerap yang tidak luput lebih daripada tiga (3) bulan antara mesyuarat. Bilangan mesyuarat boleh ditambah mengikut keperluan;
ii. Jika pengerusi tetap tidak hadir, anggota yang hadir mesyuarat hendaklah memilih pengerusi sementara dalam kalangan anggota yang hadir untuk mempengerusikan mesyuarat;
iii. Mana-mana anggota Jawatankuasa Kerja Pembangunan Tahfiz TVET yang tidak hadir hendaklah menghantar wakil dari agensi/syarikat yang sama yang diwakilinya yang pada fikirannya layak menganggotai Jawatankuasa Kerja Tahfiz TVET;
iv. Kuorum mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pembangunan Tahfiz TVET ialah sekurang-kurangnya seramai 1/3 daripada jumlah anggota. Wakil kepada anggota Jawatankuasa Kerja Pembangunan Tahfiz TVET adalah termasuk dalam kuorum mesyuarat.; dan
v. Jika atas apa-apa persoalan yang hendak ditentukan oleh Jawatankuasa Kerja Pembangunan Tahfiz TVET terdapat suatu bilangan undi yang sama banyak, Pengerusi tetap atau anggota lain jika dia yang mempengerusikan mesyuarat, hendaklah mempunyai undi pemutus sebagai tambahan kepada undi dalam perbincangannya.
7. Jawatankuasa Kerja Pembangunan Tahfiz TVET boleh mengundang orang lain menghadiri mesyuarat
7.1 Jawatankuasa Kerja Pembangunan Tahfiz TVET boleh mengundang mana-mana orang untuk menghadiri mana-mana mesyuarat Jawatankuasa Kerja bagi maksud membantu atau menasihatinya tentang apa-apa perkara yang sedang dibincangkan, tetapi mana-mana orang yang hadir itu tidak berhak untuk mengundi dalam mesyuarat itu.