MESYUARAT JKK MPKK BIL. 1/2025
Putrajaya, 14 Mei 2025 – YBrs. Ts. Zuleah binti Darsong, Ketua Pengarah Pembangunan Kemahiran, telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK), Majlis Pembangunan Kemahiran Kebangsaan (MPKK) Bil. 1/2025.
Mesyuarat ini merupakan siri pertama daripada dua (2) siri mesyuarat JKK MPKK yang telah dirancang untuk tahun 2025.
Fokus utama mesyuarat kali ini adalah untuk membincangkan isu-isu strategik berkaitan pelaksanaan latihan TVET, sejajar dengan aspirasi Kerajaan dalam memartabatkan pendidikan dan latihan kemahiran di negara ini.
Sebanyak lapan (8) Jawatankuasa Kerja (JKK) telah membentangkan pencapaian aktiviti masing-masing sehingga 30 April 2025, meliputi pelbagai bidang seperti pembangunan dasar, penarafan institusi, pemantapan kerjasama industri serta pelaksanaan program latihan yang berimpak tinggi.
Mesyuarat turut disertai oleh wakil pelbagai agensi penting dalam ekosistem TVET negara, termasuk MARA, JAKIM, HRD Corp, PTPK, GiatMara, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Malaysia Oil & Gas Services Council (MOGSC), Kementerian Ekonomi, GITC dan IKDAR. Kehadiran pelbagai pihak ini membuktikan komitmen bersama dalam menyelaras dasar dan pelaksanaan latihan kemahiran yang menyeluruh serta inklusif.
Perbincangan yang dijalankan secara aktif dan berstruktur telah membuka ruang kepada penambahbaikan berterusan demi memperkukuh sistem penyampaian dan keberkesanan pelaksanaan inisiatif TVET negara.